Orang-orang barat
dewasa ini sedang bersungguh-sungguh mempertikaikan keserasian di
antara agama dan sains. Boleh dikatakan tidak munasabah bagi seorang
pemikir barat untuk menerima hakikat boleh ada satu titik pertemuan
di antara agama dan sains. Kitab Bible yang diimani orang Kristian
mempercayai kononnya pokok yang mana Nabi Adam ‘alaihissalam telah
memakan buahnya ialah Pokok Ilmu. Justeru, selepas memakan buahnya,
Nabi Adam ‘alaihissalam mendapat ilmu yang tidak baginda
‘alaihissalam ketahui sebelum itu. Disebabkan perkara inilah Eropah
membazirkan 2 kurun bertelingkah dan berdebat samada mahu atau tidak
menerima ilmu sains daripada orang-orang Islam.
Pihak Gereja
memfatwakan bahawa usaha mengkaji ilmu sains adalah punca kepada
dosa asal (‘original sin’) Nabi Adam ‘alaihissalam. Mereka
memberikan bukti-bukti bersumberkan Kitab Injil Perjanjian Lama
(‘Old Testament’) yang menceritakan bahawa dengan memakan buah dari
pohon terlarang itulah Nabi Adam ‘alaihissalam telah mendapat ilmu.
Lantas Allah subhanahuwata’ala murka kepadanya dan tidak mahu
mengampunkannya. Justeru, suatu masa lampau pihak gereja menganggap
ilmu sains sebagai suatu perkara yang perlu dijauhi. Akhirnya
apabila golongan tidak-percayakan-tuhan (‘free-thinkers’) dan
ahli-ahli sains dari barat berjaya mengekang kuasa gereja, mereka
membalas dendam dengan mengambil sikap yang bertentangan dan
sekaligus mengurangkan pengaruh ugama. Mereka membuat semua perkara
yang keterlaluan demi menjayakan usaha mengekang kuasa gereja dan
mengurangkan pengaruhnya supaya menjadi kecil dan tidak penting
lagi. Justeru, jika and membincangkan isu agama dan sains dengan
seorang orang barat, dia akan terpinga-pinga. Mereka tidak tahu apa
itu Islam. Mereka tidak tahu bahawa Islam amat menghormati ilmu dan
para cendikiawan; bahawa Islam menganggap para ahli ilmu sebagai
saksi bersama-sama dengan malaikat tentang hakikat bahawa tiada
tuhan melainkan Allah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah
subhanahuwata’aala sebagaimana firmannya (surah 3: ayat 18)
bermaksud:
"Allah menerangkan
(kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti),
bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menerangkan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Dan Allah s.w.t Yang
Maha Agung dan Maha Suci juga berfirman (surah 47: ayat 19)
bermaksud:
"Oleh itu, maka
tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa
sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan
mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan
bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman- lelaki dan perempuan; dan
(ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di
dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)."
Al-Quran dengan jelas
menyatakan sebab mengapa Adam alaihissalam. itu lebih diutamakan
berbanding malaikat-malaikat ialah kerana ilmu yang Allah
subhanahuwata ‘ala berikan kepadanya. Kisah-kisah di dalam al-Quran
bercanggah dengan kisah-kisah Bible. Umat Islam percaya keaslian
Injil telah diubah. Menurut al-Quran, hakikat bahawa Adam
alaihissalam diberikan ilmu merupakan satu penghormatan dan bukannya
punca baginda ‘alaihissalam dibuang dari Syurga. Justeru, jika kita
berbincang tentang Islam dan sains dengan pemikir barat, mereka
lebih menjurus untuk berdebat dengan andaian yang sama dengan
pandangan agama mereka (Kristian) terhadap ilmu itu. Oleh kerana
itu, pemikir barat merasa amat terkejut bila mereka didedahkan
dengan fakta-fakta dari al-Quran dan Hadis.
Salah seorang
daripada mereka ialah Dr. Joe Leigh Simpson, Pengerusi Jabatan
‘Obstetrics’ dan ‘Gynecology’ (Kajian Janin), dan Profesor di bidang
molekul dan Genetik Manusia di Kolej Perubatan Baylor, Houston,
Amerika Syarikat. Ketika pertama kali bertemu beliau, Profesor
Simpson bertegas untuk mengesahkan ayat-ayat al-Quran dan Hadis.
Namun, kami telah berjaya meyakinkan beliau. Kami bentangkan
kepadanya ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang perkembangan
janin. Kami buktikan kepadanya bahawa al-Quran menyatakan tentang
pembentukan kromosom (‘chromose’) dan daya-pewarisan (‘hereditary’)
hanya berlaku setelah benih (dari air mani) bercantum dengan telur
wanita (‘ovum’). Sebagaimana yang kita tahu, ‘chromosome’
sememangnya menentukan bentuk fizikal yang akan diwarisi oleh bayi
itu nanti seperti warna mata, kulit, rambut, dan sebagainya.
Justeru, banyak
keadaan yang akan diwarisi oleh seseorang manusia sudahpun
ditetapkan di dalam kromosomnya. Kromosom ini mula terbentuk ketika
peringkat awal lagi (peringkat ‘nutfah’) dalam pembentukan janin.
Dengan kata lain, bentuk dan keadaan seorang manusia sudahpun
ditetapkan ketika peringkat awal lagi- peringkat ‘nutfah’. Allah
subhanahuwata’ala Yang Maha Suci dan Maha Agung menyatakan fakta ini
di dalam al-Quran (Surah Abasa, 80: ayat 17-19) bermaksud:
"Binasalah
hendaknya manusia (yang engkar) itu, betapa besar kekufurannya?
(Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh Allah?-
Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan
persediaan untuk menjadi bertanggungjawab".
Ketika 40 hari
didalam kandungan, semua anggota badan dan organ-organ telah
dibentuk secara berperingkat-peringkat. Kita boleh melihat di dalam
gambarajah 2.1 bahawa organ-organ mula dibentuk dan diatur, dan
janin itu nampak seperti terpusing. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda
yang bermaksud:
"Untuk setiap kamu,
bahagian-bahagian tubuh kamu dibentuk di dalam rahim ibu kamu
dalam masa 40 hari” (Riwayat Sahih Muslim dan Al-Bukhari).
Di dalam hadis yang
lain, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud:
"Selepas 42 malam daripada (‘nutfah’-air mani), Allah menghantar
malaikatnya yang akan membentukkan telinga, mata, kulit, daging,
dan tulang. Kemudian dia akan bertanya, "Ya Allah, adakah ia
lelaki atau perempuan?" dan Allah akan menentukan jantinanya
sebagaimana yang Dia suka"
(Riwayat Muslim).

Gambarajah 2.1 |
Profesor Simpson mengkaji dua Hadis in dengan tekun dan
sememangnya beliau tahu bahawa ketika 40 hari pertama kandungan
ialah peringkat janin-genetik yang sudah dapat dicamkan
pembentukannya. |
Beliau amat takjub
dengan ketepatan dua hadis ini. Di dalam satu persidangan yang
dihadirinya beliau memberikan pendapat ini: Dua Hadis itu telah
memberikan satu jadual secara terperinci mengenai perkembangan janin
sebelum 40 hari. Sebagaimana yang telah pun disebut oleh penceramah
lain, dua hadis ini tidak mungkin disabdakan berdasarkan pengetahuan
sains yang ada ketika itu.
Profesor Simpson
menyatakan bahawa agama boleh memandu usaha pencarian ilmu. Namun,
pihak barat sebagaimana yang kita bincangkan tadi menolak
kemungkinan ini. Dan kini sudah ada seorang ahli sains Amerika yang
yakin bahawa agama, khasnya yang bernama Islam, boleh mempertemukan
agama dan ilmu dengan jayanya. Sebagai perbandingan, bayangkan anda
pergi ke sebuah kilang dan anda membawa bersama buku panduan tentang
kilang itu. Sudah tentu anda dapat memahami perjalanan kilang itu
dengan senang disebabkan anda ada buku panduannya. Tanpanya,
,mungkin sukar untuk anda memahami perjalanan kilang berkenaan.
Profesor Simpson
berkata: Justeru, saya berpendapat bukan hanya tiada percanggahan
antara fakta genetik dan agama, tetapi lebih dari itu agama boleh
memandu sains dengan adanya wahyu-wahyu Tuhan yang boleh menolong
dalam pengkajian sains. Memang ada ayat-ayat al-Quran yang terbukti
benar oleh penemuan sains. Ini membuktikan ilmu di dalam al-Quran
itu datangnya dari Allah.
Itu sememangnya
benar. Seharusnya umat Islam memulakan pengkajian ilmu dan mereka
berupaya mengangkat ilmu ke tempat yang sepatutnya. Lebih-lebih lagi
umat Islam tahu bagaimana menggunakan ilmu untuk membuktikan
keujudan Allah Yang Maha Besar dan Maha Suci dan mengesahkan
kerasulan Nabi Muhammad sallalahualaihiwasallam.
Allah
subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
"Kami akan
perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasan Kami di merata-rata
tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka
sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran
adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan
belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan
meyaksikan tiap-tiap sesuatu?"
(Surah Fussilat, 41: Ayat 53)
Setelah menyedari
melalui contoh-contoh keajaiban sains di dalam al-Quran dan daripada
maklumbalas para saintis sendiri, marilah kata tanya beberapa soalan
ini:
a) Adakah satu kebetulan sahaja bahawa penemuan terbaru sains di
pelbagai bidang itu telah dinyatakan dengan tepat tentangnya di
dalam Al-Quran?
b) Mungkinkah al-Quran itu ditulis oleh Nabi Muhammad
sallalahu’alaihiwasallam atau oleh suatu yang bukan-manusia?
Hanya ini sahaja
jawapan yang munasabah: al-Quran itu adalah perkataan Allah
subhanahuwataala yang diwahyukanNya. Al-Quran ialah
perkataan-perkataan Allah secara langsung (‘literal’) yang Dia
wahyukan kepada nabiNya Muhammad sallalahu’alaihiwasallam melalui
malaikat Jibrail alaihissalam. Nabi Muhammad
sallalahu’alaihiwasallam menghafal wahyu-wahyu itu. Kemudiannya
sahabat-sahabat baginda sallalahu’alaihiwasallam pula menghafal
ayat-ayat itu, menulisnya dan mengulang-kaji hafalan mereka dengan
Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam.
Selain daripada itu,
Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam mengulang-kaji hafalan
al-Quran itu dengan malaikat Jibaril alaihissalam setiap tahun di
bulan Ramadan. Di tahun terakhir hidupnya, baginda mengulangkaji
hafalan dengan Jibrail sallalahu’alaihiwasallam sebanyak dua kali.
Sejak dari hari Al-Quran diwahyukan sehingga ke hari ini, ramai
orang-orang Islam yang menghafal kesemua ayat-ayat Al-Quran,
perkataan demi perkataan. Sesetengahnya berupaya menghafal al-Quran
ketika berumur 10 tahun lagi. Justeru, bukan suatu yang pelik bila
ditegaskan bahawa tiada satu pun isi al-Quran yang telah berubah
sejak zaman berzaman sehinggalah sekarang.
Al-Quran yang
diturunkan 14 kurun yang lalu telah menyatakan dengan tepat
fakta-fakta yang baru sahaja ditemui oleh ahli sains. Ini jelas
membuktikan Al-Quran itu adalah firman-firman Allah yang diwahyukan
olehNya kepada Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam Selain dari
itu, ia juga membuktikan Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam
adalah seorang Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah
subhanahuwata’ala.
Tidak munasabah untuk
mengatakan seseorang manusia pada 1400 tahun lalu tahu tentang
penemuan sains yang hanya ditemui hari ini dengan pertolongan
alat-alat canggih dan kaedah-kaedah yang sukar.